Google Analytic

Friday, March 4, 2011

IMD PTAR: Motivasi buat pelajar desa, miskin @ Pasir Gudang




PASIR GUDANG – Program Ilmu Mengubah Destini kali kedua diadakan merupakan anjuran Perpustakaan Tun Abdul Razak Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bersama Perpustakaan UiTM Kampus Segamat, Kementerian Pengajian Tinggi dan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Naib Canselor UiTM, Datuk Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, sehingga kini UiTM berusaha menganjurkan program untuk merapatkan hubungan warganya dengan masyarakat luar. 

Menurutnya, program itu adalah peluang kedua dan sebagai motivasi kepada anak-anak desa serta miskin yang tidak mampu meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi agar berpeluang membela nasib diri dan keluarga. 

“Program Ilmu Mengubah Destini menekankan tentang penghayatan ilmu melalui pemerkasaan pusat sumber yang diharapkan dapat membantu menzahirkan modal insan yang berupaya berfikir dengan kreatif dan kritis serta mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat. 

“Tahniah kepada semua yang terlibat kerana berjaya meningkatkan kemahiran di dalam memperoleh, menilai dan menggunakan maklumat bagi peningkatan taraf ekonomi dan kehidupan masyarakat di Pasir Gudang,” katanya pada majlis kemuncak Program Ilmu Mengubah Destini 2011, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang, di sini, semalam. 

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, satu penghargaan buat sekolah apabila pihak UiTM memperuntukkan sebanyak RM165,000 untuk membantu membangunkan pusat sumber sekolah di Pasir Gudang. 

Menurutnya, banyak sektor program yang dipilih institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membangunkan pelbagai idea untuk merapatkan hubungan dengan masyarakat. 

“UiTM melaksanakan Program Ilmu Mengubah Destini, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjurus ke arah program kemiskinan dan Universiti Sains Malaysia (USM) lebih kepada kelestarian yang memberi faedah kepada sekolah dan pelajar. 

“Saya percaya setiap IPT memilih sektor program masing-masing yang bermatlamat untuk mendekati masyarakat luar terutama di kawasan luar bandar,” katanya. 

Beliau turut memuji usaha Bank Rakyat menyampaikan zakat kepada 19 Masjid dan Surau dalam kawasan Parlimen Pasir Gudang pada majlis yang berlangsung, semalam. 

Majlis turut diserikan dengan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang kepada seramai 26 pelajar PMR dan 22 pelajar SPM SMK Pasir Gudang cemerlang tahun lalu.







0 comments: